Anda di sini

14 buruh binaan warga asing termasuk dua wanita diberkas

Advertisement

MIRI: Seramai 14 buruh binaan warga asing termasuk dua wanita diberkas sepasukan anggota dari Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri hasil serbuan di sebuah tapak pembinaan di Taman Tunku, di sini pagi semalam.

Tangkapan ke atas semua suspek berusia antara 16 hingga 45 tahun dibuat kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat sepasukan anggota PGA Miri  membuat serbuan ke tapak pembinaan tersebut.

Dalam serbuan sekitar jam 10 pagi, polis menahan 14 warga asing termasuk dua wanita bekerja sebagai buruh binaan di tempat tersebut.

Daripada jumlah itu, seramai 11 orang merupakan warga negara Indonesia dan tiga yang lain warga Filipina.

Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati tujuh daripada suspek memiliki permit kerja yang tamat tempoh sah.

Manakala bakinya didapati tinggal di sini setelah pas lawatan sosial dikeluarkan kepada mereka tamat tempoh serta masuk secara haram.

Berikutan tangkapan itu, semua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

 

Advertisement