
MALANG: Mayat Nurul Atikah dibawa ke bilik Forensik Mukah untuk bedah siasat sebelum dibawa balik ke rumahnya di Kampung Tanjong Mukah untuk disemadikan.
MUKAH: Mayat Nurul Atikah Rosli yang dikhuatiri lemas selepas hilang dalam kejadian perahu tambang karam di perairan Batang Mukah di sini ditemui kira-kira jam 8 pagi semalam.
Mayat mangsa dijumpai orang awam di kawasan pantai Petian Mukah di sini kira-kira lima kilometer dari lokasi perahu tambang yang dinaikinya karam dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Dearah Mukah DSP Jimmy Panyai yang mengesahkan penemuan mayat itu semalam memberitahu bahawa insiden ini merupakan yang pertama di Mukah pada musim banjir ini.
Justeru, beliau menasihati orang ramai yang menggunakan pengangkutan perahu bersaiz kecil agar berhati-hati dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan.
Dalam pada itu, mayat telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Daerah Mukah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya bagi urusan pengebumian.
Susulan penemuan mayat itu semalam, operasi mencari dan menyelamat oleh Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dengan kekuatan lima anggota ditamatkan.
Mengimbas kembali kejadian malang itu, mangsa yang berasal dari Kampung Tanjong pada hari kejadian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya mini di bandar Mukah.
Malangnya, perahu yang dinaikinya bersama tiga lagi penumpang terbalik selepas melanggar bahagian haluan beberapa perahu nelayan yang berlabuh di tebing pasar Mukah akibat arus deras.
Tiga lagi penumpang, Jali Gani, 63, Aliyana Wahida Ajiji, 15, Siti Hawa Bujang, 47, dan pemilik perahu Hepni Majidi, 35, bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri daripada dibawa arus deras.