Anda di sini

Lebih banyak keluarga dijangka dipindah

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

55 keluarga merangkumi 258 mangsa dipindah ke Dewan Kampung Batu Kitang Jaya

BERKUMPUL: Antara keluarga terjejas yang ditempatkan di Dewan Kampung Batu Kitang Jaya setakat tengah hari semalam.

KUCHING: Lebih banyak keluarga dijangka dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Kampung Batu Kitang Jaya di sini sekiranya hujan masih berterusan.

Pusat pemindahan itu kini menempatkan mangsa terjejas dari dua kampung utama berdekatan iaitu Kampung Batu Kitang Lama dan Kampung Batu Kitang Jaya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuching Leftenan (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, setakat jam 12.45 tengah hari semalam sebanyak 55 keluarga dipindahkan yang merangkumi 258 orang mangsa.

“Daripada jumlah itu 141 orang adalah lelaki dan 117 orang wanita dan kemungkinan ada lagi keluarga yang akan dipindahkan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Bagaimanapun daripada jumlah itu kira-kira 100 berada dalam dewan (pusat pemindahan) sementara selebihnya tinggal di luar atau rumah saudara mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di pusat pemindahan itu, semalam.

Tambah Azril kesemua mangsa yang dipindahkan itu adalah dari dua kampung utama berdekatan iaitu Kampung Batu Kitang Lama dan Kampung Batu Kitang Jaya.

Beliau dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuching katanya telah mula melakukan pemindahan dari jam 7.15 malam kelmarin.

“Bagi JPAM kami memindahkan 13 orang awam dari Kampung Batu Kitang menggunakan trak kami sementara kebanyakan mereka yang lain berpindah sendiri,” tegasnya sambil memberitahu bahawa JPAM menggunakan kekuatan seorang pegawai dan 10 anggota di pusat pemindahan itu.

Bagi memantau kawasan berkenaan pihaknya menyediakan seunit bot 14 kaki bersama enjin 40 kuasa kuda(hp), sebuah ambulans dengan tiga kru dan seunit trak lima tan, yang juga akan bergerak ke kawasan lain.

“Kami menempatkan sebuah ambulans khas untuk pusat pemindahan ini kerana di kawasan terdekat pusat ini antara yang menempatkan paling ramai mangsa banjir.

“Setakat ini antara pusat pemindahan lain yang turut JPAM tangani adalah Kampung Sinar Budi, Rantau Panjang, Kampung Sungai Tengah dan terbaharu Kampung Segedup,” ujar Azril.

Advertisement