Anda di sini

JPAM Bahagian Samarahan tangkap buaya dan ular ketika banjir

Advertisement

TETAMU TAK DIUNDANG: Pasukan JPAM Bahagian Samarahan berjaya menangkap buaya dan ular ketika kesibukan orang ramai menghadapi banjir.

KOTA SAMARAHAN: Kakitangan di pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di sini digemparkan dengan penemuan seekor buaya yang tersesat di dalam longkang di situ ketika banjir melanda kawasan itu sejak kelmarin.

Bagaimanapun sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Bahagian Samarahan yang diketuai Leftenan (PA) Ahmad Shahfikri Darus berjaya menangkap dan mengeluarkan buaya sepanjang lapan kaki itu.

Menurut jurucakap JPAM Bahagian Samarahan, buaya yang tersesat itu berjaya ditangkap dan dikeluarkan sekitar jam 11.15 pagi semalam.

Selain buaya, pasukan JPAM Bahagian Samarahan juga berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang 10 kaki di sebuah rumah di Kampung Meranek pada malam kelmarin.

“Sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan anggota digerakkan ke tempat kejadian sebelum berjaya menangkap ular sawa terbabit sekitar jam 9.49 malam semalam (kelmarin),” kata jurucakap JPAM Samarahan.

Kedua-dua haiwan liar itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri.

Advertisement