Anda di sini

Jom sertai Badminton Terbuka Bumiputera Piala Datuk Wahab pada 23 hingga 25 Jan

Advertisement

SARATOK: Berita baik bagi peminat sukan badiminton kerana Kelab Badminton Daerah Saratok menganjurkan Kejohanan Badminton Terbuka Bumiputera Sarawak 2015 Piala Datuk Abdul Wahab Aziz pada 23 hingga 25 Januari ini.

Setiausaha Kelab Badminton Saratok, Masran Morshidi berkata pertandingan itu terbahagi tiga kategori iaitu beregu lelaki terbuka, beregu lelaki veteran terbuka (45 tahun ke atas) dan beregu lelaki bawah 15 tahun.

“Yuran sebanyak RM30 dikenakan kepada beregu lelaki terbuka dan beregu lelaki veteran, manakala beregu lelaki bawah 15 tahun penyertaan adalah percuma dan tiada bayaran dikenakan kepada setiap pasukan yang mahu berentap dalam Kejohanan Badminton Terbuka Bumiputera Sarawak 2015 Piala Datuk Abdul Wahab Aziz bermula dari tarikh yang dinyatakan.

“Kejohanan ini hanya terbuka kepada pemain-pemain Bumiputera lahir di Sarawak kecuali kaum Cina yang berada di Saratok, Roban, Kabong sahaja dibenarkan menyertai ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Mereka berminat boleh menghubungi Masran di talian (019-8799466) atau Sapri Gani (019-8683485) sebelum tarikh tutup pada 22 Januari ini.

Pertandingan itu berlangsung di Dewan Masyarakat Sri Krian terbuka kepada semua warganegara Malaysia di negeri ini.

Pemain-pemain pernah atau sedang mewakili negeri atau negara adalah tidak dibenarkan menyertai kejohanan ini.

Juara beregu lelaki bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM800, manakala naib juara mendapat hadiah wang tunai RM600 dan dua pasukan ke pusingan separuh akhir masing-masing meraih hadiah wang tunai RM150.

Pasukan menjuarai kategori beregu lelaki veteran 45 tahun ke atas membawa pulang hadiah wang tunai RM800 serta piala, manakala naib juara RM600 dan dua pasukan ke pusingan separuh akhir meraih hadiah wang tunai RM150.

Bagi kategori beregu lelaki bawah 15 tahun, juara membawa hadiah wang tunai RM150, naib juara RM100 dan dua pasukan ke pusingan separuh akhir meraih wang tunai RM50.

“Mana-mana pasukan tidak dapat hadir ke sesi itu, penganjur berhak melakukan cabutan undi kepada mereka,” katanya.

Pasukan menyertai pertandingan ini dikehendaki datang ke GiatMara Saratok pada 22 Januari ini, jam 3.30 petang untuk sesi cabutan undi kumpulan.

Advertisement