Oleh Mastura Ismail //
LIMBANG: Seramai 33 bayi dan 115 kanak-kanak antara mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Medamit berikutan banjir meliputi kawasan Ulu Medamit, pekan Medamit dan kawasan rendah di sekitarnya sejak petang kelmarin.
Sehingga petang semalam, seramai 551 orang membabitkan 132 keluarga, sudah berada di pusat berkenaan yang dibuka serta merta akibat banjir yang disifatkan paling teruk melanda daerah ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Daripada jumlah itu 280 orang adalah mangsa lelaki dan 271 perempuan yang kebanyakannya dari kawasan pekan Medamit dan sekitarnya.
Pelbagai bantuan meliputi barang makanan, tilam dan keperluan lain sudah diagihkan kepada mangsa banjir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan berkaitan.
Selain itu bantuan makanan turut diagihkan ke kawasan rumah panjang di Ulu Medamit seperti Rumah Meruyu, Rumah Asan dan sekitarnya yang tidak dapat berpindah kerana terputus hubungan namun kini berada di kawasan tinggi dan selamat.
Seorang mangsa banjir, Luba Akan, 60-an, berkata segala bantuan dan keperluan bantal dan tilam yang disediakan di pusat berkenaan mencukupi sejak berpindah petang Ahad lalu.
Dia yang ditempatkan di pusat berkenaan bersama suaminya bagaimanapun tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana banjir berlaku begitu pantas.
“Air melimpah sehingga mencecah paras bumbung. Kami cuba membawa dokumen penting untuk menyelamatkan diri sebelum ditempatkan di pusat ini petang kelmarin,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa banjir Inau Sigar, 39, menjelaskan dia bersama tiga cucu dan anak-anaknya turut bermalam di pusat pemindahan memandangkan kediamannya di Kampung Liang Dato Medamit turut dinaiki air.
“Memang air naik sangat cepat, menyebabkan kami lari sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri,” katanya sambil menambah keperluan bantal dan tilam masih belum mencukupi di pusat berkenaan.
Sementara itu Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata perkhidmatan kesihatan sudah bergerak untuk memantau keadaan mangsa di pusat berkenaan.
“Kami juga meminta perkhidmatan tandas bergerak ditambah termasuk perkhidmatan air bersih.
“Di samping itu saya sudah bermesyuarat bersama Pejabat Residen semalam dan mengerahkan logistik yang ada untuk bergerak dan turun padang memantau keadaan yang terjejas,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai dalam pada itu memberitahu bahawa sebanyak 30 anggota PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis sukarelawan turut membantu dalam operasi banjir termasuk di Balai Polis Medamit dan Bambangan.
“Anggota kami juga sedang bersiap sedia setiap masa, selain bantuan daripada jabatan lain termasuk bomba, tentera dan anggota keselamatan kami di bilik gerakan banjir PDRM,”ujarnya.
Beliau turut menjelaskan abhawa tiada laporan kecurian harta benda khususnya di kawasan yang ditinggalkan akibat banjir dan pemantauan berterusan tetap dijalankan.
Sementara itu Balai Polis Medamit turut dinaiki sehingga mencecah paras bumbung akibat banjir besar yang melanda Ulu Medamit petang kelmarin.
Mohd Bukhori berkata lagi sebanyak 50 kotak sumbangan air mineral dan 40 kotak barang makanan turut diagihkan anggotanya kepada mangsa terjejas banjir di pusat berkenaan semalam.
Pegawai Pertahanan Awam, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Limbang Leftenan Muda Subuh Posa berkata seramai 35 anggota sukarelawan termasuk seorang pegawai turut menjalankan operasi membantu mangsa banjir sejak kelmarin.
“Anggota kami turut mengagihkan bantuan makanan JKM bukan sahaja kepada mangsa di pusat pemindahan tetapi juga di kawasan terjejas yang tidak berpindah membabitkan kawasan Ulu Medamit,” katanya.
Selain itu Subuh berkata keperluan logisitik membabitkan satu jentera, kenderaan pacuan empat roda dan dua bot JPAM turut berada di lokasi kejadian banjir untuk operasi membantu mangsa banjir.
Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati dua jalan iaitu jalan menuju ke SMK Medamit dan jalan menuju ke Ulu Medamit terputus hubungan kerana dinaiki air sehingga mencecah lebih enam kaki.
Difahamkan juga tujuh sekolah turut ditutup, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, Tanjung, Pengkalan Jawa kerana paras air yang naik di kawasan terbabit.