Anda di sini

Air pasang, hujan tanpa henti punca banjir kilat

Advertisement

BERJAGA-JAGA: Air di kawasan Kampung Bawang Matu naik ke paras bawah rumah.

MATU: Pertembungan air pasang dan situasi hujan turun tanpa henti sejak beberapa lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di sini dinaiki air petang kelmarin.

Seorang penduduk, Abdul Mukmin, 56, berkata bagaimanapun situasi banjir di kawasan terbabit masih terkawal.

“Terdapat beberapa kawasan dinaiki air seperti di Kampung Sekaan Besar Matu, jalan besar Matu-Daro dan Kampung Bawang Matu.

“Namun, sehingga jam 2 petang semalam belum ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan tetapi penduduk sekitar kawasan ini diberi arahan dan amaran berjaga-jaga khususnya menjelang petang (semalam).

“Amaran dikeluarkan pihak berwajib menjelang pertembungan air pasang besar sebelah petang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Abdul Mukmin, kali ini kerisauan penduduk akan banjir besar seperti pernah berlaku sekitar 2004 dan 2005 bakal berulang.

“Berdasarkan situasi kini, hujan turun tanpa henti sejak beberapa hari lalu menimbulkan kerisauan penduduk.

“Keadaan air besar yang tiada menunjukkan sebarang penurunan dan surut masih lagi tiada menunjukkan sebarang perubahan.

“Begitupun, kita berdoa dan harap kejadian tidak diingini berlaku dan keadaan pulih seperti biasa,” jelasnya.

Pada masa sama, sebagai langkah berjaga-jaga penduduk kawasan mudah terjejas telah bertindak memindahkan barang-barang mereka ke kawasan selamat.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir Matu berkata setakat ini belum ada penduduk dipindahkan.

“Bagaimanapun, mereka diarahkan berjaga-jaga dan bersedia mematuhi arahan berpindah jika keadaan semakin teruk dan pemantauan dilakukan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk diminta menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan serta memaklumkan situasi di kawasan mereka dari semasa ke semasa.

Pengamal media sosial juga diminta agar tidak menyebarkan sebarang khabar angin.

Advertisement