Anda di sini

3,812 mangsa banjir di Sarawak dipindahkan

Advertisement

TERPUTUS HUBUNGAN: Jalan raya di Medamit yang dinaiki air sehingga enam kaki tinggi.

KUCHING: Seramai 3,812 mangsa banjir daripada 939 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh Sarawak setakat jam 4 petang semalam.

Menurut Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Wanita Datuk Fatimah Abdullah yang ditemui di Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, setakat jam 4 petang semalam juga sebanyak 31 pusat pemindahan banjir dibuka.

“Sehingga jam 4 petang tadi (semalam)… ini angka terkini… 3,812 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

“Pusat pemindahan yang menempatkan paling ramai mangsa ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St Peter iaitu seramai 1,015 orang.

“Pusat ini menempatkan mangsa dari Kampung Simpok Padawan yang terjejas teruk akibat banjir,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat jam 4 semalam, tujuh kes tanah runtuh dilaporkan iaitu tiga di Bau dan empat di Padawan.

Jelasnya lagi daripada tiga kes tanah runtuh yang berlaku di Bau, satu membabitkan sebuah rumah iaitu di Kampung Sibuluh bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Sementara itu berdasarkan statistik dikeluarkan Majlis Keselamatan Negeri, beberapa lagi pusat pemindahan banjir yang masih aktif setakat jam 4 petang semalam ialah Dewan Serba Guna Kampung Batu Kitang Jaya menempatkan 246 mangsa, SK Beradek (371 mangsa), Balai Raya Kampung Maang Padawan (173 mangsa).

Manakala mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Lama seramai 122 ditempatkan di rumah-rumah kedai di situ.

Bagi mangsa banjir di Taman Desa Wira (121 mangsa) mereka ditempatkan di Dewan Masyarakat Stapok Stephen dan mangsa dari Astana Lot Jalan Astana seramai 121 ditempatkan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

1,015 orang daripada 264 keluarga dipindahkan ke di Pusat Pemindahan Bencana JKM di Dewan SK St Peter, Kampung Simpok.

CUBA-CUBA: Seorang penunggang motosikal cuba meredah jalan yang ditenggelami air kira-kira setinggi empat kaki.

PINDAH: Penduduk Kampung Entingan terpaksa meredah banjir untuk ke pusat pemindahan di situ selepas kampung itu dinaiki air setinggi satu meter.

Advertisement