Anda di sini

Etiqa bina rumah bagi mangsa banjir yang hilang kediaman

Advertisement

MACHANG: Etiqa Insurance & Takaful Berhad (Etiqa) bercadang membina rumah bagi menempatkan mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir dengan peruntukan antara RM6 juta dan RM7 juta.

Timbalan Presidennya Ahmad Nasaruddin Hamzah berkata sebanyak 75 peratus daripada peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan rumah di Kelantan manakala bakinya di Pahang.

“Langkah itu sebagai usaha untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah penempatan semula mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan rumah akibat bencana banjir bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir di beberapa kampung di Pulai Chondong di sini, malam kelmarin.

Ahmad Nasaruddin berkata pihaknya akan menggunakan konsep reka bentuk dan kos yang ditetapkan oleh kerajaan pusat bagi pembinaan setiap rumah berkenaan.

Beliau berkata bagi penduduk yang hilang punca pendapatan akibat banjir, pihaknya akan menggalakkan mereka berniaga secara kecil-kecilan. — Bernama

Advertisement