Anda di sini

BAM ambil langkah radikal pulih kegemilangan badminton negara

Advertisement

KUCHING: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan melakukan langkah radikal untuk mengembalikan zaman kegemilangan sukan itu termasuk menjadi antara tiga negara terbaik dunia menjelang 2020.

Bagi mengorak langkah ke arah itu, presidennya Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata mereka akan melaksanakan strategi dan dasar baharu mulai tahun ini.

B uat permulaan, katanya semua pemain yang mengikuti pelbagai program latihan kini akan menjalani latihan di bawah satu program.

“Setiap pemain boleh berentap dengan pemain lain termasuk pemain elit.

Barisan jurulatih perlu merancang perkembangan pemain untuk menjadi pemain utama dunia dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau mendedahkan perubahan struktur latihan tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BAM sempena Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters di sini semalam.

Tengku Mahaleel berkata BAM akan menggunakan pangkalan data perinci selama tiga tahun berhubung prestasi jurulatih dan pemain untuk membentuk sistem baharu latihan dan kejurulatihan termasuk program latihan bagi melahirkan pemain utama.

Katanya Pengarah Teknikal baharu BAM, Morten Frost Hansen dari Denmark akan menggunakan pangkalan data itu untuk memutuskan antara lain kaedah latihan pemain dan program penggantian jurulatih.

Beliau berkata BAM menghadapi pelbagai cabaran antara lain jumlah pemain berbakat yang kecil serta kelemahan mental pemain.

Menurutnya walaupun pemain mempunyai bakat yang tinggi tetapi telah lemah dari segi mental seperti dikesan oleh jurulatih BAM dari Korea Selatan dan China.

Justeru, katanya Frost bersama-sama pihak BAM akan cuba menangani masalah itu.

Katanya pihaknya perlu menyemarakkan minat lebih mendalam terhadap sukan itu dalam kalangan rakyat tempatan. — Bernama

Advertisement