Anda di sini

SUKMA 2016: Sibu bakal tuan rumah bola tampar dan bola tampar pantai

Advertisement

SIBU: Sibu akan menjadi tuan rumah bagi acara bola tampar dan bola tampar pantai sementara Miri bagi acara karatedo dan perahu layar ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.

Selain acara sukan itu, acara-acara lain seperti wushu, taekwando, skuasy, renang, olahraga dan sebagainya berlangsung di Kuching.

Ini dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lucas Kallang Laeng selepas menyerahkan bendera negeri kepada pasukan lawan pedang yang menyertai Kejohanan Lawan Pedang Antarabangsa Terbuka Borneo di Brunei dari 25 hingga 28 Januari ini.

Menurut Lucas, persediaan bagi SUKMA 2016 berjalan lancar meskipun kejohanan akan berlangsung tahun depan.

“Kita telah mengenal pasti atlet-atlet berbakat dan jurulatih masing-masing serta menyediakan mereka lebih awal agar mereka dapat memberikan keputusan yang memuaskan,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu para atlet telah mula menjalani latihan di kawasan masing-masing sebelum menjalani latihan pusat yang dijangka bermula Ogos ini.

“Sebagai tuan rumah SUKMA tahun depan, kita perlu menetapkan sasaran lebih tinggi,” katanya sambil menambah Sarawak sebelum ini pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sebanyak tiga kali iaitu pada 1990, 1992 dan 1994.

Menyentuh mengenai pasukan lawan pedang menyertai kejohanan di Brunei, Lucas memberitahu ia merupakan pendedahan kepada sembilan peserta terbabit.

Beliau juga mengingatkan semua peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya itu agar memberikan persembahan terbaik serta komitmen tinggi.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai peserta dari negara Jepun, Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Ini merupakan cabaran pertama dan diharap atlet kita dapat menimba pengalaman yang perlu agar dapat bersaing dengan penuh keyakinan pada kejohanan SUKMA akan datang,” katanya.

Advertisement