Anda di sini

SFA rancang anjurkan Liga Bawah 19 Tahun

Advertisement

SIBU: Bagi melahirkan pemain pelapis, Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) merancang menganjurkan Liga Bawah 19 Tahun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Setiausaha SFA, Abdul Hajis Abdullah berkata ini selaras galakkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) mahu lebih ramai pemain muda beraksi dalam liga tempatan.

“Liga Bawah 19 Tahun ini dirancang bermula selepas Hari Raya Aidilfitri dan merupakan salah satu aktiviti SFA tahun ini,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, FAS sebelum ini menggalakkan pemain-pemain berusia bawah 19 tahun menyertai liga tempatan termasuk Liga Sibu.

Namun, ia bukan satu kemestian atau syarat untuk semua pasukan beraksi dalam Liga Sibu tahun ini bagi menyenaraikan pemain-pemain bawah 19 tahun.

“Oleh itu, SFA menganjurkan Liga Bawah 19 Tahun di samping Liga Sibu bagi melahirkan pemain-pemain pelapis untuk perkembangan bola sepak tempatan.

Liga Bawah 19 Tahun ini terbuka kepada pasukan dari sekolah serta pasukan luar yang berminat.

Selain Liga Bawah 19 tahun, SFA turut merancang menganjurkan Liga Sibu 2015 dan Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah, kedua-duanya dijadual berlangsung pada Mac ini.

Turut dirancang ialah Pertandingan Bola Sepak Veteran 45 Tahun Ke Atas.

Menyentuh mengenai Liga Sibu 2015, Abdul Hajis berkata sebanyak 15 pasukan baharu dan lama mengesahkan penyertaan pada liga kali ini.

“Seperti Liga Sibu 2014, liga tahun ini turut dibahagikan kepada Divisyen 1 dan Divisyen 2,” katanya sambil meminta pasukan berminat mendapatkan borang dengan segera memandangkan penyertaan adalah terhad.

Advertisement