Anda di sini

Nasib 937 bekas pekerja Perwaja Steel dapat perhatian kerajaan negeri

Advertisement

KEMAMAN: Nasib 937 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd yang diberhentikan apabila syarikat pengeluar besi itu memutuskan untuk menamatkan operasinya penghujung tahun lalu, mendapat perhatian kerajaan negeri apabila kesemua mereka menerima bantuan segera RM500 seorang semalam.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sumbangan itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menerusi jawatankuasa khas yang dibentuk bagi meringankan bebanan pekerja terutama menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, selain bantuan itu, terbaharu kerajaan negeri berunding dengan beberapa pihak termasuk Eastern Steel Sdn Bhd, sebuah syarikat kilang besi keluli dari China bagi membolehkan mereka diserap sebagai pekerja apabila kilang itu beroperasi sepenuhnya kelak.

“Eastern Steel memberi kesanggupan untuk membantu tetapi tidak memberi jaminan untuk membantu kesemuanya, bagaimanapun kita tetap akan cuba.

“Selain itu, kita juga sedang berurusan dengan syarikat yang baharu hendak dibuka di negeri ini untuk melihat sekiranya ada atau tidak peluang pekerjaan untuk diberi kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kerajaan negeri kepada pekerja Perwaja yang ditamatkan perkhidmatan, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Sementara itu, seorang pekerja, Affendi Omar, 36, berkata berita jaminan kerja yang diumumkan Menteri Besar amat dinanti-nantikan ramai terutama ketika sebahagian besar daripada mereka, masih lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya sejak diberhentikan, sudah beberapa kali beliau bertukar kerja dan terpaksa menanggung tunggakan hutang yang tinggi.

“Gaji saya sebagai pemandu jentera berat adalah RM1,700, nilai itu cukup untuk menampung isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang masih kecil.

“Saya berharap dapat diterima bekerja di syarikat baharu kerana inilah sahaja peluang yang dapat menjamin masa depan kami, kami tidak ada pelajaran tinggi, yang ada cuma kemahiran,” katanya. — Bernama

Advertisement