Anda di sini

UNHCR perlu segerakan penempatan pelarian ke negara ketiga: Wan Junaidi

Advertisement

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) semalam diminta menyegerakan proses penempatan pelarian yang memegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kementerian memandang serius isu rakyat asing yang memegang status pelarian dan mempunyai kad UNHCR di negara ini.

“Terdapat sejumlah 150,000 pemegang kad UNHCR di negara ini dan kebanyakan daripada mereka adalah rakyat Myanmar. Ini membebankan negara.

“Jangan bebankan Malaysia dengan duduk di sini bertahun-tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.

Beliau berkata pihak negara ketiga juga diminta supaya tidak memilih untuk menerima mereka di kalangan profesional dan berpendidikan tingga sahaja, dan membiarkan mereka yang tidak berpelajaran tinggal di negara ini.

Wan Junaidi berkata beliau dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan UNHCR berhubung masalah pendatang asing yang memegang kad UNHCR tetapi sehingga kini perkara itu tidak dapat diselesaikan.

“Kita hanya akur (menerima mereka di negara ini) dengan satu sebab sahaja iaitu perikemanusiaan,” katanya yang ditanya mengenai perkara itu berikutan beberapa kes pembunuhan melibatkan rakyat Myanmar yang memegang kad UNHCR di negeri ini.

Kes pembunuhan melibatkan rakyat negara itu mendapat perhatian apabila kumpulan rakyat Myanmar terbabit dikatakan memotong anggota badan mangsa mereka dan membuangnya di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam di sini.

Sejak awal tahun lepas, 21 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan. — Bernama

Advertisement