Anda di sini

Jangan ceroboh perairan laut negara lain, kata Ismail Sabri

Advertisement

PUTRAJAYA: Nelayan Malaysia dinasihatkan tidak menceroboh perairan laut negara lain dan memberikan alasan tidak tahu di mana sempadan perairan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata alasan berkenaan tidak boleh diterima kini kerana setiap kapal nelayan laut dalam yang menangkap ikan di zon C2 iaitu lebih daripada 30 batu nautika dari pesisir pantai negara dilengkapi sistem pengesanan global (GPS) yang akan memberikan amaran sekiranya melepasi sempadan perairan negara.

Mengulas laporan sebuah kapal nelayan yang mengibarkan bendera Malaysia ditenggelamkan pihak berkuasa Indonesia minggu lepas selepas didapati bersalah menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram, Ismail Sabri berkata kapal yang diletupkan itu telah menceroboh sempadan negara luar sejauh enam batu nautika.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata setiap negara mempunyai undang-undang masing-masing apabila ada kapal menceroboh perairan mereka.

“Namun, cara pelupusan di setiap negara adalah berbeza. Di Malaysia, kita gunakan cara yang lebih diplomasi, kita tebuk bot dan karamkan untuk dijadikan tukun tiruan. Indonesia, mereka memilih untuk letupkan,” katanya.

Ismail Sabri mengingatkan bahawa Indonesia sangat tegas dalam hal tersebut kerana republik itu sudah mengharamkan penggunaan pukat tunda.

“Jadi, jika kapal kita masuk perairan negara berkenaan, mereka akan mengambil tindakan tegas kerana merosakkan sumber perikanan negara itu,” katanya.

Sebuah kapal nelayan yang mengibarkan bendera Malaysia dilapor ditenggelamkan pihak berkuasa Indonesia pada 8 Jan lepas setelah didapati bersalah oleh Pengadilan Negeri Medan kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan republik itu iaitu di luar pantai Pulau Pandang, Sumatera Utara.

Jelas Ismail Sabri, Malaysia juga marah apabila perairan negara diceroboh nelayan asing kerana tindakan tersebut menjejaskan pendapatan dan hasil tangkapan nelayan tempatan.

“Jadi, sekiranya kita marahkan nelayan-nelayan luar menceroboh negara kita, maka saya nasihatkan nelayan- nelayan kita jangan menceroboh perairan negara luar,” katanya.

Pada tahun lepas, empat kapal nelayan asing ditahan iaitu sebuah kapal Filipina di perairan Labuan, sebuah kapal Indonesia ditahan di perairan Pulau Pinang dan dua buah kapal nelayan Vietnam di perairan Kuantan.

Pada tahun 2013, sebanyak 11 buah kapal nelayan Vietnam ditangkap di perairan Kuantan dan Terengganu, katanya. — Bernama

Advertisement