Anda di sini

‘Ops Catut’ pantau harga barangan sebelum GST bermula hari ini

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menjalankan operasi ‘Ops Catut’ bermula hari ini bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan menjelang pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata pemantauan dilakukan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan ketika sistem percukaian baharu itu dilaksanakan.

“Ops ini diteruskan sehingga diberitahu kelak dan kementerian akan memastikan tindakan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST,” katanya kepada media selepas melancarkan Operasi Antipencatutan Bagi Menghadapi Pelaksanaan GST di sini, semalam.

Katanya operasi itu dilakukan untuk memastikan para peniaga mengekalkan jumlah keuntungan bersih yang diperolehi pada 2 Jan hingga 30 Jun tahun ini.

“Sekiranya keuntungan bersih itu meningkat berbanding dengan apa yang diperolehi pada tempoh masa itu, jadi ia akan dianggap sebagai pencatutan,” katanya.

Hasan juga berharap rakyat yang ingin mengadu mengenai kenaikan harga barang untuk tampil dengan bukti lengkap supaya pihak penguat kuasa dapat mengambil tindakan dengan serta-merta.

“Kalau aduan tidak diberi perhatian, mereka boleh mengadu terus kepada saya atau timbalan saya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Alias Ahmad untuk diambil tindakan ke atas pegawai yang tidak menjalankan tanggungjawab,” katanya. — Bernama

Advertisement