Anda di sini

Tambahan DUN tingkat tahap pembangunan rakyat

Advertisement

SRI AMAN: Tahap pembangunan rakyat yang tinggal di luar bandar mampu dipertingkatkan lagi dengan adanya usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pandangan itu disuarakan Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang dan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Ran Ili, Sri Aman petang semalam.

Menurut Mong, apabila sesebuah kerusi Dewan Undangan Negeri baharu diwujudkan ia akan dapat berfungsi menyuntik banyak manfaat kepada rakyat yang tinggal di kawasan terbabit.

“Saya yakin, tahap pembangunan anda (rakyat) di DUN baharu ini akan dapat dipertingkatkan dengan kehadiran lebih ramai wakil rakyat bertugas untuk memajukan kawasan anda nanti,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mong yang juga naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berharap parti mereka dapat diberikan dua daripada 11 kerusi tambahan baharu yang dilakukan menerusi persempadanan semula tersebut.

“Lagi pun PRS adalah sebuah parti luar bandar maka sememangnya amat berminat dengan mana-mana kawasan DUN baharu yang mampu dimenangi PRS kelak,” katanya.

Sementara itu kata Masir, persempadanan semula kawasan pilihan raya ini akan dapat memberi manfaat dari segi pentadbiran dan susur atur pembangunan di DUN baharu itu nanti.

Kelebihan ini akan lebih tampak ketara sekiranya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi DUN atau Parlimen di kerusi yang baharu diwujudkan itu, kata beliau.

“Selain mengeratkan lagi hubungan antara ADUN dan Ahli Parlimen dalam sesebuah kawasan baharu tersebut, usaha ini juga dilihat akan lebih menguatkan lagi jentera pembangunan BN di kawasan tersebut,” kata Masir.

Advertisement