BINTULU: Cadangan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu iaitu DUN Long Lama oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut baik ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan.
Louis Jalong yang merupakan salah seorang ahli PBB berkata, dengan adanya DUN baharu itu dapat membantu memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat di kawasan Telang Usan dan menguatkan suara rakyat di kawasan itu khususnya mengenai keperluan serta kemajuan yang diinginkan.
“Kami di Telang Usan memerlukan seorang lagi ADUN yang mampu membangunkan kawasan terbabit dengan lebih efisien ke arah membantu kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Jelasnya, sekiranya cadangan DUN Long Lama diluluskan nanti, ia bakal membuka lembaran baharu bagi senario politik di Telang Usan sekali gus membolehkan kawasan terbabit dibangunkan dengan lebih cepat pada masa depan.
Beliau berharap cadangan mewujudkan persempadanan semula kerusi DUN itu tidak disalahertikan pihak tertentu sebaliknya melihat aspek positifnya demi pembangunan serta transformasi lebih cepat kawasan terbabit.