Oleh Mahathir Haroun//
KUCHING: Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘Safe Camera (Safecam) Partnership’ dilihat mampu mengurangkan kegiatan jenayah di bandar raya ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Mohd Sabtu Osman berkata, ini kerana program tersebut membolehkan orang ramai dan pihak swasta berkongsi maklumat dengan polis dalam membanteras jenayah.
“Ini antara usaha PDRM membanteras jenayah dengan melibatkan kerjasama pihak swasta dan agensi kerajaan yang memiliki kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Safecam Partnership bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini, semalam.
Menurut Sabtu lagi, pihak lain yang memiliki CCTV juga boleh mendaftar dan menyertai program tersebut.
“Sebelum ini CCTV digunakan selepas sesuatu kejadian berlaku namun sekarang ia untuk kegunaan penyaluran maklumat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, program tersebut juga akan diperluaskan di bahagian lain negeri ini.
“Ini adalah projek perintis…sudah pasti ia akan diperluaskan ke tempat lain juga,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan peruntukan untuk memasang 44 CCTV di kawasan tumpuan jenayah di bandar raya ini.
Bagaimanapun katanya, kesemua CCTV tersebut masih belum beroperasi dan diserahkan kepada DBKU serta MBKS.
“Kalau dapat kerajaan percepatkan operasi CCTV ini.
“Terdapat 20 CCTV dipasang di kawasan MBKS dan 24 di kawasan DBKU,” kata Abang Abdul Wahap.
Menurutnya lagi, pemasangan CCTV penting untuk mencegah, mengesan dan pendakwaan di mahkamah.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung dan Timbalan Datuk Bandar MBKS Abang Affendi Abang Annuar.