BINTULU: Pihak bertanggungjawab harus mencari jalan penyelesaian serta mengatasi masalah banjir kilat sering melanda bandar Bintulu serta kawasan sekitarnya.
Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata langkah drastik harus diberi perhatian segera bagi mengatasi masalah banjir.
“Pihak berwajib harus meminimumkan impak negatif daripada fenomena banjir kilat bagi mengurangkan kerugian serta kerosakan harta benda khususnya di kawasan perumahan, premis niaga, pusat komersil dan perindustrian,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke beberapa kawasan kerap dilanda banjir di sini.
Rombongan itu turut menghadiri taklimat khas mengenai banjir yang dihadiri pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berwajib di Wisma Residen Bintulu di sini, semalam.
Katanya pemerhatian bersama wakil-wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen Bintulu, wakil kontraktor mendapati terdapat dua faktor utama menyebabkan kerap berlaku banjir di sini.
Faktor utama ialah sistem perparitan tidak mencukupi untuk menampung jumlah air hujan dan parit tersumbat disebabkan sisa buangan yang dibuang ke dalam parit.
“Pihak bertanggungjawab harus mengatasi banjir dan tidak perlu mengikut spesifikasi jangka panjang kerana situasi banjir dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.