Anda di sini

Penjual cermin gelap harus diberi informasi tepat

Advertisement

Oleh Mohd Norhadie Sahari//

MIRI: Penjual cermin gelap di kedai-kedai aksesori kereta di sini harus diberi informasi tepat tentang peraturan baharu penggunaan cermin gelap yang diluluskan kerajaan.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa kedai aksesori kereta di sini mendapati ada kalangan pemilik kedai terbabit tidak mengetahui peraturan baharu penggunaan cermin gelap yang diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara beberapa kedai lain mengetahui perkara sedemikian berikutan mendapat risalah tentang peraturan baharu daripada JPJ.

Seorang pemilik kenderaan berkata, pemasangan cermin gelap yang diluluskan kerajaan dan dilaksanakan mulai tahun ini telah menimbulkan kekeliruaan di kalangan orang awam.

“Ada antara kedai aksesori memasang cermin gelap melebihi 70 peratus cermin depan, sisi dan belakang mendapat kelulusan JPJ namun apabila berlaku sekatan jalan notis pemeriksaan semula tetap dikeluarkan,” katanya di sini semalam.

Pengadu memberitahu, ini terbukti bahawa ada kedai aksesori sengaja menjual nama JPJ kononnya apabila pelanggan memasang cermin gelap melebihi ketelusan cahaya mendapat kelulusan JPJ.

“Saya terpaksa menukar kembali cermin gelap yang bernilai RM280 kepada filem lebih cerah kerana bimbang disaman sekali lagi oleh JPJ atau polis trafik gara-gara terpedaya dengan pujukan kedai aksesori,” katanya.

Pengadu turut menasihati pemilik kereta baharu supaya tidak terlalu teruja menggelapkan cermin kereta kerana bimbang mereka menjadi mangsa penipuan kedai aksesori kereta.

JPJ menyediakan panduan pemasangan cermin gelap menerusi risalah kepada kedai-kedai aksesori, namun kalangan pengguna tetap berdegil memasang cermin gelap melebihi had dibenarkan.

Menurut panduan baharu pemasangan cermin gelap, ketelusan cahaya cermin hadapan kenderaan sekurang-kurangnya 70 peratus.

Bagi ketelusan cahaya sisi kiri dan kanan pemandu sekurang-kurangnya 50 peratus, manakala cahaya lain-lain cermin di belakang pemandu sekurang-kurangnya 30 peratus.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan tidak harus terkeliru dan termakan pujukan kedai-kedai aksesori untuk menggelapkan cermin tanpa spesifikasi betul.

Advertisement