Anda di sini

JPAM Limbang tingkat latihan kemahiran anggota sukarelawan

Advertisement

LIMBANG: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Limbang meningkatkan latihan kemahiran lebih 100 anggota sukarelawan pasukan itu bagi menangani sebarang bencana luar jangka terutama musibah banjir di sini.

Pegawai Pertahanan Awam, JPAM Daerah Limbang Leftenan Muda Subuh Posa berkata seramai 60 hingga 70 anggota sukarelawan sudah bersedia satu jam pertama jika berlakunya banjir dan meningkat lebih 100 anggota jika berlaku bencana luar jangka.

“Selain kekuatan anggota, semua kelengkapan logistik JPAM Limbang juga mencukupi dan jika bencana berlaku teruk kita meminta bantuan daripada JPAM Miri,” katanya di sini semalam.

Subuh menjelaskan, satu taklimat persediaan banjir diadakan melibatkan anggota sukarelawan pasukan itu dalam usaha menghadapi bencana banjir.

“Kita melakukan persiapan rapi menghadapi musibah banjir dalam tempoh pertengahan Januari hingga Februari depan seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia,” jelasnya.

Pada taklimat tersebut, sukarelawan turut didedahkan dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi menyelamat, penggunaan peralatan dan logistik serta persediaan lain.

Taklimat itu penting untuk meningkatkan kemahiran menyelamat mangsa pelbagai kategori seperti bayi, warga emas, obesiti dan orang kurang upaya (OKU) serta teknik betul sebahagian daripada SOP dalam misi menyelamat mangsa banjir.

Sementara itu, pihaknya melakukan persiapan rapi membantu mangsa banjir di Lawas sekiranya berlaku banjir di daerah itu seperti diarahkan pengarah JPAM Sarawak.

Advertisement