Anda di sini

Ceramah sentuh sensitiviti agama tidak harus diadakan di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Sebarang ceramah awam menyentuh sensitiviti agama tidak sepatutnya diadakan di negeri ini yang memiliki masyarakat pelbagai kaum.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata, perkara tersebut sekiranya dibiarkan mungkin boleh menimbulkan perasaan kurang senang dan menggugat perpaduan.

Bagaimanapun menurut-nya, ceramah agama di khalayak awam memang tidak dihalang namun perlu menjaga sensitiviti penganut agama tertentu.

“Saya tidak menentang ceramah awam terutama untuk mengukuhkan perpaduan.

“Namun setiap ceramah perlu mengambil kira sensitiviti sesuatu kaum,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata Sarawak merupakan negeri yang mengutamakan keharmonian kaum dan ia perlu dipertahankan.

Terdahulu Baru melahirkan rasa kurang senang terhadap penganjuran ceramah oleh Shaykh Affeefuddin Al-Jailani anjuran Pusat Pene-rangan Islam dan disokong Pusat Islam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya topik asal ceramah tersebut yang bertajuk ‘Muhammad SAW in the Bible’ mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Kristian kerana Nabi Muhammad tidak disebut dalam Injil.

“Ramai pemimpin gereja tidak senang dengan tajuk ini,” ujarnya yang berharap perkara sama tidak berulang di negeri ini.

Ceramah yang sepatutnya berlangsung dari 14 hingga 15 Januari itu bagaimanapun dibatalkan.

Hadir sama Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How.

Advertisement