Anda di sini

Waspada aktiviti keganasan di kawasan penempatan

Advertisement

Langkah pencegahan membantu kerajaan bertindak awal

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling serta menjadi ‘mata dan telinga’ bagi kerajaan dalam mengekang dan mencegah aktiviti keganasan di sesuatu kawasan penempatan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata perkara itu merupakan satu daripada langkah pencegahan bagi membantu kerajaan bertindak awal untuk mengenal pasti aktiviti keganasan di peringkat awal sebelum menjadi serius.

“Pihak keselamatan tidak boleh berada di segenap ceruk negara ini khususnya di kawasan pedalaman yang mungkin digunakan sebagai tempat latihan kegiatan aktiviti keganasan.

“Apabila orang ramai mendapat sesuatu maklumat atau tindakan yang memberi syak wasangka berkaitan aktiviti keganasan itu, laporkan kepada pihak kerajaan dan balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Malaysia kepada Pengurus Tim Penembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Kol Nubli Hashim bagi menyertai Kejohanan Menembak Antarabangsa di Brunei, di Dewan Kem Transit, Jalan Padang Tembak di sini semalam.

Brunei International Skill-At-Arms (BISAM) yang bermula pada 14 sehingga 30 Jan ini, merupakan kejohanan yang diadakan setiap tiga tahun bertujuan mewujudkan perhubungan dan kerjasama erat antara angkatan tentera negara yang terlibat.

Kontinjen ATM menghantar 37 wakil termasuk sembilan pegawai dalam BISAM ke-11 ini, yang melibatkan 15 tim penembak angkatan bersenjata dari negara luar termasuk Malaysia, Australia, Britain, China dan Indonesia.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Bantuan Udara Left Jen Datuk Sabri Adam yang mewakili Panglima Tentera Udara dan Pemangku Ketua Staf Markas ATM Mejar Jen Datuk Baharom Hamzah.

Zulkifeli dalam ucapannya pada majlis itu berkata keadaan keselamatan global dan serantau yang semakin kompleks serta tidak menentu sama ada ancaman berbentuk tradisional atau bukan, dijangka berterusan dan memberi impak ke atas negara ini serta negara serantau.

“Sebagai spektrum cabaran yang semakin luas, bukan sahaja mengundang penglibatan ATM, malah menuntut kerjasama serta perkongsian ketenteraan daripada negara-negara luar dan serantau,” katanya. — Bernama

Advertisement