Anda di sini

SPAD diminta tetapkan dan kawal tambang bas sekolah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diminta menetapkan paras siling untuk tambang bas sekolah agar pengusaha tidak menaikkan harga terlalu tinggi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata SPAD perlu mengawal selia tambang yang ditetapkan pengusaha bas sekolah walaupun mereka sebelum ini tidak pernah mematuhi harga yang ditetapkan kerajaan.

“Pengusaha bas sekolah tidak boleh menentukan tambang kerana pendapatan ibu bapa berbeza di bandar dan di luar bandar…pihak yang paling sesuai untuk menetapkan tambang bas sekolah adalah SPAD,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang memetik kenyataan Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM), Amali Munif Rahmat bahawa kadar tambang bas sekolah pada sesi persekolahan yang baru bermula dijangka meningkat antara 30 hingga 50 peratus.

Pada Oktober tahun lepas, peraturan menetapkan harga siling tambang bas sekolah telah dihentikan dan kuasa penetapan diberi kepada tiga pihak iaitu ibu bapa, sekolah dan pengusaha bas sekolah manakala SPAD bertindak sebagai pemantau sahaja.

Mohd Yusof berkata pengusaha bas juga perlu mengambil kira beban yang ditanggung ibu bapa berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan jalan terbaik adalah mencari situasi ‘menang-menang’ antara ibu bapa dan pengusaha bas sekolah.

Menurutnya kadar tambang asas bas sekolah yang diwarta di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam mengawal selia tambang bas kerana pengusaha tidak boleh menetapkannya sewenang-wenangnya.

“SPAD seharusnya bertindak tegas dalam isu ini dan tidak tunduk kepada tekanan pengusaha bas sehingga ada dalam kalangan mereka telah menetapkan tambang melebihi 30 peratus daripada harga siling yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Presiden PPBSM Amali Munif Rahmat pula berkata penetapan tambang bas sekolah tidak boleh direalisasikan kerana pengusaha tidak boleh menetapkan harga secara kolektif, kerana ia satu kesalahanan serius di bawah Akta Persaingan 2010.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pernah memberi amaran kepada PPBSM bahawa pengusaha bas boleh dikenakan denda sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan mereka sekiranya bersetuju menetapkan tambang bas sekolah, katanya.

Pada Oktober tahun lepas (2014), SPAD menetapkan bahawa pengusaha bas sekolah tidak lagi akan terikat kepada satu struktur tambang tetap dan mereka bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan rundingan bersama dengan pihak sekolah dan ibu bapa.

Bagaimanapun, keputusan SPAD itu telah mendapat bantahan pengusaha bas sekolah yang menyifatkannya sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dilaksanakan kerana tiada garis panduan disediakan dalam penetapan tambang. — Bernama

Advertisement