Anda di sini

Reaksi berhubung peraturan pakaian pelajar tingkatan enam

Advertisement

PERATURAN BAHARU: Pengetua Sekolah Penang Free, Jalil Saad memberi taklimat mengenai pakaian biasa (kasual) yang boleh dipakai kepada pelajar tingkatan enam di George Town, semalam. Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada pelajar-pelajar tingkatan enam untuk memakai pakaian kasual bersyarat bagi menggantikan pakaian uniform sedia ada mulai tahun ini. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kelonggaran yang diberikan kepada pelajar tingkatan enam untuk memakai pakaian kasual ke sekolah selain pakaian seragam mendapat reaksi berbeza daripada pelajar.

Tinjauan Bernama di beberapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekitar Kuala Lumpur mendapati hanya segelintir pelajar tingkatan enam yang mengikut peraturan baharu itu dengan berpakaian kasual ke sekolah sementara yang lain masih memilih pakaian seragam.

Mohd Saifullah Mohd Hasmathullah, 19, dari SMK St.John hadir pada hari pertama persekolahan sesi 2015 semalam dengan berpakaian kasual tetapi kemas.

Katanya penampilan dengan pakaian kasual itu membuatkan dirinya lebih berkeyakinan.

“Saya rasa lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk belajar selaras dengan tahap pembelajaran kami di peringkat prauniversiti,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.

Bagi pelajar SMK Convent Bukit Nanas, Katherine Dinissha, 19, dia bersetuju dengan etika pemakaian baharu bagi tingkatan enam memandangkan mereka bukan lagi pelajar sekolah biasa.

“Dengan berpakaian kasual menampakkan kami lebih matang dan tidak dilihat hanya sebagai pelajar sekolah biasa semata-mata,” katanya.

Berbeza pula bagi pelajar SMK Aminuddin Baki, Valentina Tan Yi Jiun, 19, beliau tetap berpakaian seragam ke sekolah memandangkan semalam ialah hari pertama persekolahan dan dia sudah membuat persiapan sejak awal cuti persekolahan.

Sementara itu, Pengetua SMK Aminuddin Baki Latifah Mahfod berkata pihaknya sudah sedia maklum arahan membenarkan pelajar tingkatan enam mengikut etika berpakaian baharu.

“Kami mengalu-alukan pelajar untuk mematuhi etika berpakaian yang baharu diumumkan Kementerian Pendidikan dan memberi kebebasan penuh kepada mereka,” katanya.

Kementerian Pendidikan pada 5 Dis lepas mengeluarkan surat pekeliling Ikhtisas mengenai ‘Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam’ yang membenarkan pelajar memakai pakaian kasual selain pakaian seragam sekolah.

Etika itu mengandungi arahan tidak membenarkan mana-mana institusi yang menguruskan pelajar tingkatan enam mengenakan sebarang paksaan atau tekanan untuk tujuan penyeragaman pakaian pelajar.

Berbeza dengan keadaan di TEMERLOH, apabila kebanyakan pelajar tingkatan enam di daerah masih berpakaian seragam kerana ragu-ragu untuk berpakaian biasa ditambah lagi belum ada pemberitahuan rasmi daripada pihak sekolah.

Bagi pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh di sini, Siti Sarah Abd Razak, 19, yang menjadi satu-satunya pelajar mamakai baju kurung biasa, mengakui agak janggal berpakaian demikian kerana kelihatan berbeza dengan rakan sekelas.

“Masa dapat tahu (keputusan kementerian), saya sudah berkira-kira pakaian apa yang hendak dipakai. Namun, hari ini (semalam) rasa sukar pula memilih baju yang sesuai supaya tidak nampak keterlaluan daripada kawan yang memakai pakaian seragam,” katanya kepada Bernama semalam.

KINI BEBAS BERPAKAIAN: Pelajar tingkatan enam atas, Muhammad Farhan Zairol, 19, (tiga kiri) bersama rakan sekelas yang lain menumpukan perhatian kepada guru mata pelajaran Ekonomi Asas, Rahayu Mat Rasid (kiri) semasa memulakan hari pertama persekolahan dengan memakai pakaian kasual di SMK Seri Ipoh di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

Siti Sarah yang turut terjejas dengan banjir baru-baru ini mengakui gembira dengan keputusan kementerian memberi kelonggaran kepada pelajar tingkatan enam untuk berpakaian tradisional atau kasual ke sekolah.

Rakan sekolahnya Mohd Yusri Abd Rahim, 19, berkata beliau masih belum membeli pakaian baharu dan mengenakan pakaian seragam tahun lalu kerana mahu menunggu keputusan guru-guru berhubung etika berpakaian.

“Jika dibenarkan berpakaian biasa, barulah saya bercadang untuk membeli pakaian baharu, iatu seluar ‘slack’ dan kemeja sebagai ‘seragam’ baharu saya nanti,” kata MOhd Yusri.

Pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini, Fitriyeni Arjulinas, 19, berkata beliau gembira untuk ke sekolah dengan pakaian kasual.

“Jika boleh pakai seluar, mungkin saya akan bergilir-gilir menggunakan seluar panjang dengan baju kurung. Baharu rasa sama seperti rakan-rakan yang mengambil jurusan diploma di universiti atau kolej,” katanya.

Pendapat itu dipersetujui rakannya Norul Mustaqimah Mohd Zam Zam, 19, yang menambah kebenaran berpakaian biasa akan membuatkan beliau berasa ‘lebih dewasa’ kerana perlu membuat keputusan setiap pagi sebelum ke sekolah.

Pelajar Ahmad Naqiyuddin Abdul Samad, 19, bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza daripada rakan-rakannya kerana menganggap mengenakan pakaian seragam adalah ‘jalan selamat’ dan lebih mudah.

Sehubungan itu, beliau berkata akan memikirkan terlebih dahulu sama ada akan terus memakai pakaian seragam atau mengenakan pakaian biasa.

Pada 23 Dis lalu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata pelajar tingkatan enam tahun ini dibenarkan berpakaian tradisional atau kasual ke sekolah sebagai langkah ‘menjenamakan semula tingkatan enam’. — Bernama

Advertisement