Anda di sini

Alberts kebingungan prestasi Ngap Sayot

Advertisement

KUCHING: Kejayaan Sarawak mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri malam kelmarin masih meresahkan ketua jurulatihnya, Robert Alberts.

Pengendali dari Belanda itu melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi semasa anak-anak buahnya terutama di bahagian serangan meskipun dihidangkan dengan banyak peluang.

Persembahan kurang meyakinkan daripada pemain import turut menggusarkan Alberts kerana kancah Liga Super akan bermula tidak sampai sebulan dari sekarang.

Biarpun Billy Mehmet dan Ryan Griffiths menunjukkan keserasian yang baik namun penyudah kedua-dua pemain import itu agak merisaukan.

“Saya tidak nafikan mereka berdua menunjukkan kombinasi baik namun ketumpulan penyudah agak merisaukan.

“Diharapkan segala-galanya akan kembali ke tahap terbaik apabila bermulanya saingan liga nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Alberts tetap berpuas hati dengan prestasi pemain tempatan seperti Ashri Chuchu dan Mohd Nazri Kamal berjaya membuat banyak hantaran lintang menarik.

Selain itu, barisan pertahanan juga semakin baik dengan Ronny Harun, Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Perlawanan malam kelmarin menyaksikan Sarawak mendahului pada minit kelapan hasil jaringan Hairol.

Selang seminit, Syafiq Jamal menyamakan kedudukan dan kedudukan seri itu terikat sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sarawak beraksi lebih garang dengan beberapa gerakan menarik berjaya direncanakan.

Tuah ternyata berpihak kepada Sarawak apabila Ashri berjaya menyempurnakan hantaran cantik Griffiths pada minit ke-57.

Sarawak sepatutnya mampu menjaringkan gol ketiga namun hantaran lintang Ashri gagal disempurnakan dengan baik oleh Ronald Hikspoors.

Dalam perlawanan itu, Sabah hanya menurunkan seorang pemain import iaitu Abdoulaye Faye manakala bekas bintang import Liverpool, El Hadji Diouf direhatkan.

Advertisement