Anda di sini

Usaha bebaskan Zakia diteruskan: Pesuruhjaya Polis Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Usaha untuk membebaskan anggota PasukanPolis Marin, Konst Zakia Aliep, yang diculik dari sebuah resort di Semporna tahun lepas masih dijalankan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Jalaluddin berkata usaha membebaskan Zakia masih diteruskan namun komunikasi antara kumpulan  penculik berkenaan dengan isteri Zakia, Sharifah Erna Berson tidak lagi dibenarkan sekerap seperti sebelum ini kerana ia  boleh mengganggu usaha pembebasan itu.

“Usaha memang dijalankan. Sepatutnya mereka sudah dibebaskan. Ingat masa pembebasan mangsa culik (Chan Sai Chuin) di Kunak tu? Rundingan memang dijalankan untuk membebaskan kedua-duanya.

Zakia sepatutnya dibebaskan  pada 10 Dis tahun lepas bersama dengan penternak ikan di Kunak, Chan Sai Chuin, 32 tetapi hanya Chan seorang sahaja yang dibebaskan, katanya.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan  Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini semalam. Beliau mengulas mengenai perkembangan anggota  polis berkenaan dan usaha membebaskannya daripada tangan kumpulan penculik.

Zakia, 27, diculik dari sebuah resort di Pulau Mabul pada 12 Julai lalu dipercayai oleh  kumpulan penjenayah rentas sempadan Abu Sayyaf. Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, rakan Zakia,  Kpl Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh terkena tembakan kumpulan penjenayah lapan anggota itu.

Chan pula diculik dari sebuah ladang ternakan ikan di Kunak pada 16 Jun sebelum dibebaskan pada 10 Dis tahun lalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Jalaluddin berkata indeks jenayah kontinjen Sabah menurun 7.08 peratus pada tahun lalu iaitu daripada 3,321 kes pada tahun 2013 berbanding 3,086 kes pada tahun 2014. — Bernama

Katanya pada tahun lalu, polis berjaya menyelesaikan 2,564 atau 49.19 kes daripada  keseluruhan kes yang disiasat pada tahun itu berbanding 48.32 peratus atau 2,789 kes daripada jumlah  kes yang disiasat pada tahun 2013. — Bernama

Advertisement