Anda di sini

Laporkan segera kerosakan peralatan sekolah: Muhyiddin

Advertisement

JERANTUT: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah yang terjejas dengan banjir supaya mengemukakan laporan kerosakan peralatan dan buku-buku sekolah secepat mungkin kepada Pejabat Pendidikan Daerah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi membolehkan peralatan itu digantikan segera untuk memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dengan segera serta belajar dengan selesa apabila sesi persekolahan bermula minggu depan.

“Kita dah dimaklumkan oleh pihak sekolah tentang kerosakan yang dialami dan penggantian kerusi, meja, buku teks yang belum sempat diedarkan kepada pelajar sudah rosak, kita akan belanja lebih untuk ganti semula dengan segera.

“Segala pembaikan atau penggantian peralatan persekolahan yang rosak akan dilaksanakan segera di sekolah yang telah dikenal pasti terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir bagi negeri Pahang di Pejabat Daerah Jerantut di sini semalam.

Muhyiddin berkata, dalam masa yang sama, 56 buah sekolah di tiga buah negeri yang terjejas akibat banjir dan masih dijadikan pusat pemindahan, dibenar untuk melewatkan permulaan sesi awal persekolahan.

“Ia melibatkan 34 buah di Pahang, 18 di Perak dan empat buah di Kelantan dan sekolah-sekolah ini perlu menggantikan semula waktu persekolahan itu pada waktu yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar, di sini, Muhyiddin menyerahkan peruntukan berjumlah RM25.7 juta sebagai bantuan awal persekolahan kepada Jabatan Pendidikan Pahang.

Bantuan berkenaan di-serahkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Pahang Mohd Rosdi Ismail.

Peruntukan itu diumumkan menerusi Bajet 2015 sebelum ini membolehkan setiap keluarga menerima RM100 untuk membeli kelengkapan persekolahan seperti uniform sekolah dan alat tulis.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata pemberian tersebut diharap dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa banjir yang berdepan dengan masalah kewangan ekoran kehilangan harta benda termasuk kediaman mereka ketika musibah itu melanda.

“Saya harap semua supaya tabah dan bersabar dengan ujian daripada Allah ini. Kerajaan akan bertindak segera untuk memberi bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat.

“Kita juga perlu ambil iktibar daripada kejadian ini dengan perlu lebih peka menjaga alam sekitar dan jangan menebang hutan serta memotong balak secara melampau,” katanya. — Bernama

Advertisement