Anda di sini

Anggota RELA menyamar polis dipenjara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gara-gara menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman seorang anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) semalam  dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhi hukuman itu terhadap Long Chun Fai, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyamar sebagai anggota polis dengan menyebut perkataan “Aku polis Bukit Aman” dan menunjukkan satu kad kuasa polis.

Long yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir motosikal flat Sri Selangor, Jalan San Peng, Dang Wangi, di sini pada jam 9.20 malam, 2 Jan lepas.

Zuraini memerintahkan Long menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Jan lepas.

Ketika rayuan, Long memohon mahkamah supaya dikenakan hukuman paling ringan atas alasan dia menanggung tiga anak yang masih kecil dan hanya bergantung kepada pendapatan sebagai anggota RELA.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam bagaimanapun memohon hukuman berat kerana kesalahan tertuduh memperdaya orang awam dan mencemarkan imej jabatan terlibat merupakan satu kesalahan serius.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian Long bersama seorang lagi rakannya telah pergi ke tempat letak motosikal di flat tersebut dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Muhammad Aliff Iszairi Ismail, 21, sambil bertanyakan di mana lokasi orang menjual dadah.

Muhammad Aliff hanya menunjukkan ke arah sekumpulan lelaki di taman permainan dan dia yang tidak berpuas hati mengekori Long dan rakannya ke arah blok lain di flat yang sama.

Ketika pengadu bertanya lagi kepada Long, dia masih mengaku dirinya anggota polis dari Bukit Aman dan menunjukkan kad kuasa polis yang dipercayai palsu tetapi akhirnya tertuduh memberitahu dia bukannya polis. — Bernama

Advertisement