Anda di sini

Utamakan mangsa yang hilang tempat berteduh: Mercy

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mereka yang kehilangan rumah dan keseluruhan harta benda akibat dilanda banjir perlu mendapat keutamaan dalam pemberian bantuan pasca banjir.

Menegaskan demikian, Pengarah Serantau Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, Norazam Abu Samah berkata golongan ini perlu diberi keutamaan kerana keadaan mereka yang mendesak dan sudah hilang tempat berteduh untuk meneruskan hidup.

“Mangsa banjir di kawasan yang terjejas teruk perlu diberikan keutamaan bantuan keperluan merangkumi makanan berkhasiat berbanding hanya keperluan asas makanan ketika ini.

“Antara bantuan keperluan kehidupan lain yang sangat mereka perlukan ketika ini ialah pakaian, dapur, pinggan mangkuk, cerek, kuali, tilam, tikar, lampu dan bekas menyimpan air,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata bantuan sukarelawan membersihkan rumah yang ditenggelami air juga harus diberi perhatian namun keadaan mereka tidak terlalu mendesak berbanding mangsa yang memerlukan bantuan meneruskan kehidupan.

“Kita (sukarelawan) kena turun ke lapangan duduk dengan mangsa dan lihat apa yang paling mereka perlukan, tak boleh hanya beri bantuan secara ‘one-off’ sahaja kerana skala (magnitud) banjir kali ini sangat besar dan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membantu memudahkan mangsa mencuci rumah mereka, Mercy setakat ini telah menyerahkan 160 set kit cucian yang mengandungi penyodok besi, baldi, sarung tangan, berus pencuci, penyapu dan alatan cuci lain kepada penduduk di Kampung Tualang, Kuala Krai – antara kawasan yang terjejas teruk.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason pula menegaskan bantuan kewangan sangat penting dalam situasi pasca banjir supaya mangsa dapat membeli segala keperluan yang diperlukan mengikut keutamaan.

Katanya, syarikat swasta juga digalak menubuhkan pasukan khas masing-masing yang akan menyumbangkan tenaga kerja sukarela untuk membantu membersihkan rumah mangsa dan kawasan awam.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan yang menghantar bantuan ke Kelantan, Zifridin Zakaria, 47, berkata apa yang dilihatnya mangsa banjir ini memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Beliau yang baru pulang dari misi menghantar bantuan makanan dan keperluan kepada penduduk di daerah Dabong, Kelantan berkata antara masalah utama yang timbul di kalangan mangsa banjir ialah sampah, lumpur, dan ranting pokok yang bersepah di kawasan rumah mereka. — Bernama

Advertisement