Anda di sini

Sukarelawan bantu bersih 160 sekolah di Kelantan

Advertisement

PUTRAJAYA: Seramai 3,521 sukarelawan pasca banjir Kementerian Pendidikan dihantar ke Kelantan untuk membersihkan 160 sekolah sebelum sesi persekolahan 2015 bermula di negeri itu 11 Jan ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Ab Rahim Othman berkata sekolah terbabit adalah 31 di Pasir Mas, Tumpat (27), Tanah Merah (20), Gua Musang (11), Kuala Krai (48), Kota Baharu (17) dan Machang (enam).

Menurutnya, kumpulan yang terdiri daripada guru, kakitangan Kementerian Pendidikan dan mahasiswa itu adalah konvoi fasa pertama manakala kumpulan seterusnya akan dihantar secara berperingkat ke negeri-negeri terjejas banjir.

“Guru dan kakitangan kementerian terlibat dikira sebagai menjalankan tugas rasmi sepanjang tempoh misi itu dan kami memang menggalakkan mereka untuk turut serta membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan konvoi misi sukarelawan pascabanjir Kementerian Pendidikan fasa pertama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan di sini, semalam.

Ab Rahim berkata seramai 50,000 sukarelawan di bawah kementerian itu telah bersedia untuk digerakkan ke negeri-negeri dalam misi bantuan pasca banjir.

Di KANGAR, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar 60 staf termasuk jurutera, doktor dan kaunselor ke Tumpat malam tadi bagi membantu mangsa banjir di kawasan itu.

Naib Canselor UniMAP Datuk Brig-Jen Prof Dr Kamarudin Hussin berkata mereka akan menumpukan pada kerja pembaikan, penyelenggaraan di premis-premis kerajaan dan kediaman mangsa, membersihkan sekolah dan memberi khidmat perubatan dan kaunseling.

Satu pasukan pesawat tanpa pemandu (UAV) turut dihantar bagi meninjau kesan banjir di Tumpat melalui udara bagi tujuan penyelidikan berfokus kepada membangunkan teknologi berasaskan UAV dan sensor bagi pengesanan awal banjir, katanya kepada pemberita di sini, semalam. — Bernama

Advertisement