Anda di sini

Ibu rayu bantuan biaya kos bedah anak saraf kembang

Advertisement

Kos mencecah RM30,000, gaji suami sekitar RM600 sebulan

GEORGE TOWN: “Kami sudah habis ikhtiar, sampai pernah berbulan-bulan kutip derma dari rumah ke rumah untuk kumpul duit bayar kos pembedahan anak sampai sekarang masih tidak cukup”.

Itu luahan M. Bavani, 35, yang semakin terdesak apabila anak lelakinya R. Vineis, 5, disahkan menghidap penyakit saraf kembang menyebabkan kanak-kanak itu sering muntah, demam, hilang selera makan dan mengadu sakit kepala.

“Masalah itu semakin kerap berlaku pertengahan tahun lepas kadang kala dia tidak tahan menanggung sakit yang menyerang secara tiba-tiba sehingga badannya lemah akibat terlalu lama menangis,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata suaminya, S.Ramesh, 44, yang bekerja di ladang kelapa sawit secara kontrak hanya berpendapatan sekitar RM600 sebulan dan tidak mampu membayar kos pembedahan anak yang mencecah RM30,000.

Ramesh berkata beliau bercadang menghantar anaknya ke tadika tahun ini tetapi membatalkan hasratnya kerana bimbang dengan keadaan kesihatan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata kanak-kanak itu juga terpaksa berpantang makan dan hanya boleh menelan makanan lembut menyebabkan tubuhnya semakin susut.

“Memang dia nampak sihat tapi bila sakitnya menyerang dia jadi penat. Buat masa ini kami hanya beri dia ubat yang dibekalkan Hospital Sultanah Bahiyah dan Putra Medical Centre di Alor Setar, Kedah,” katanya yang tinggal di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

Ramesh berkata walaupun hidup serba kekurangan mereka sekeluarga sanggup berhabis wang demi memastikan Vineis membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Mujur dalam tiga bulan ini kami dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dapat juga tampung belanja dan bayar tambang anak ke hospital,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh hubungi 016-4745612 atau melalui akaun Ambank bernombor 015-002-312207-3 atas nama Bavani atau menerusi akaun Maybank nenek kanak-kanak itu, Sobbomah Appalasamy (102-055-33948-3). — Bernama

Advertisement