Anda di sini

Hanya telefon bimbit asas yang dicadangkan dibawa ke sekolah

Advertisement

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata beliau mencadangkan hanya telefon bimbit asas untuk dibawa pelajar ke sekolah.

Beliau berkata ia lebih berupa telefon yang hanya mempunyai fungsi menghantar khidmat pesanan ringkas serta membuat panggilan dan bukannya telefon pintar yang mempunyai pelbagai fungsi.

“Ada negara lain yang membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah tetapi dengan item untuk panggilan masuk dan keluar sahaja yang telefon sebegini ditawarkan syarikat telekomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, yang mendapat pelbagai reaksi.

Beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, kerana bimbang ia akan mengganggu pembelajaran pelajar yang akan leka dengan telefon mereka.

Namun Tajul Urus berkata penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar bukan dibenarkan secara bebas tetapi perlu dikenakan syarat tertentu.

“Misalnya guru dikehendaki menyimpan telefon pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Tetapi di waktu rehat, pelajar dibenarkan mengakses telefon mereka sama ada untuk membuat panggilan kepada ibu bapa atau keperluan mustahak lain,” jelasnya.

Beliau berkata beliau lebih melihat kepada aspek keselamatan untuk membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah.

“Misalnya dalam perjalanan mereka pergi atau pulang dari sekolah sama ada dengan menaiki bas atau berjalan kaki, mereka boleh menggunakan telefon untuk meminta pertolongan sekiranya keselamatan mereka terancam,” katanya.

“Hari ini pun sudah ramai pelajar yang membawa telefon ke sekolah walaupun terdapat peraturan yang tidak membenarkannya,” tambahnya. — Bernama

Advertisement