Anda di sini

SUPP ikrar terus relevan

Advertisement

Bertemu Adenan, setuju beberapa perkara untuk 2015

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Kepimpinan baharu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang disokong oleh ahli-ahli parti komited dan setia membawa parti itu kembali ke landasan lebih relevan dan tepat.

Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pucuk pimpinan SUPP telah bertemu dengan Ketua Menteri selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem beberapa kali tahun lalu dan mereka bersetuju agar beberapa perkara dilakukan tahun ini.

“Tetapi, saya tidak akan mendedahkannya kepada media kerana saya tidak mahu publisiti murahan.

“Apa yang penting, biarlah perkhidmatan dan keikhlasan kami memperjuang sesuatu isu berkaitan dengan rakyat membuktikan komitmen kami,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menggantung Papan Tanda SUPP Cawangan Dudong di Jalan Aman, di sini semalam.

Hadir sama dua Naib Presiden SUPP Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk David Teng, Bendahari SUPP Ding Kuong Hiing, Ketua Wanita SUPP Datin Jennifer Chee, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan Timbalannya Dato Sri Dr Benny Lee serta Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Chieng Buong Toon.

Dr Sim juga menggalakkan ahli-ahli parti bersuara mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat dengan tidak perlu bergantung kepada presidennya sahaja untuk tujuan tersebut.

Terdahulu, wakil kaum Iban kawasan Dudong Penghulu Philip Kayak turut berucap, menjamin bahawa sokongan pengundi kaum Iban dan Bumiputera terhadap SUPP masih kuat pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Pada majlis sama, Ketua Unit Bumiputera SUPP Cawangan Dudong Kaunselor Ladong Ingkol menyerahkan kira-kira 700 borang permohonan keahlian baharu kepada Dr Sim.

Advertisement