Anda di sini

Politik BN bangunkan rakyat: Harden

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa politik diketengahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah politik membangunkan rakyat bukannya politik menghancurkan rakyat.

Menurutnya, kerajaan BN sentiasa melaksanakan polisi pembangunan yang membawa keuntungan kepada semua masyarakat.

“Polisi kerajaan BN membangun serta menyalurkan pembangunan kepada rakyat malah sentiasa mendengar masalah rakyat dan berusaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Kita bukan seperti pembangkang hanya bercakap kosong dan menabur janji di merata-rata, tetapi kita sentiasa mengotakan janji kepada rakyat,” katanya pada Program ‘Walkabout’ di Rumah Jeluka, Kampung Suang, Sabu di sini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan berkata, rakyat harus sedar bahawa mereka masih memerlukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya.

“Kerajaan BN harus dijadikan contoh sebagai kerajaan terbaik kerana sentiasa bekerja untuk rakyat,” katanya.

Hadir sama Naib Pengerusi Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang Patrick Michael Malajin, Kaunselor Walterkiller James Junit, Tuai Rumah Kedeny dari Kampung Beleti, Tuai Rumah Japing dari Kampung Nyakai serta ahli-ahli JKKK.

Pada majlis itu, Harden turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM6,000 kepada JKKK berkenaan.

Advertisement