Anda di sini

Grand Prix Kereta GT bakal berlangsung di bandar KL

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran tempatan bakal teruja dengan pengan­juran perlumbaan kereta GT di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur tahun ini.

Pesta perlumbaan kereta sport, dikenali sebagai Grand Prix Bandar Raya KL di atas litar sepanjang 3.2 km melalui jalan utama di sini, berlang­sung selama tiga hari mulai 7 Ogos depan.

Litar lumba itu bermula dari KLCC, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Pinang dan kembali ke KLCC.

Pelancaran rasmi Grand Prix itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani per­janjian antara penganjur, GT Global Race (Malaysia) Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Apex Circuit Design Ltd, KBR Projet Management dan Shanghai Topspeed Ltd.

“Apabila kami faham kon­sepnya, kami tahu Grand Prix Bandar Raya KL adalah sesuatu yang mem­beri manfaat besar kepada warga Kuala Lumpur dan akan meningkatkan lagi profil bandar raya yang hebat ini, “ kata Ahmad Phesal.

Terdahulu, Pengerusi GT Global Race Tunku Naquiy­uddin Tuanku Jaafar dalam ucapannya berkata Grand Prix Bandar Raya KL akan menjadi satu pesta utama yang turut menyediakan pelbagai pengalaman interaktif dan menghiburkan untuk penon­ton dan pelawat dari seluruh dunia.

“Kami akan memastikan Grand Prix Bandar Raya KL akan mematuhi stand­ard Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Antara parameter utama pematuhan FIA ialah reka bentuk, pem­binaan dan skop keseluruhan aspek teknikal litar lumba itu,” katanya.

Beliau berkata Grand Prix itu akan memberikan impak besar kepada industri pelancongan dan juga ekonomi negara. — Ber­nama

Advertisement