Anda di sini

Tujuh pemain Liga M diperlukan hadapi kelayakan Piala Asia AFC B-23

Advertisement

SHAH ALAM: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, Razip Ismail memerlukan khidmat tujuh pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi memantapkan pasukan itu menghadapi kelayakan Piala Asia AFC B-23 pada Mac ini.

Razip berkata pemain seperti Farhan Roslan dari pasukan Kedah, Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Syazwan Tajuddin adalah antara pemain yang boleh disenaraikan bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan B-22.

“Saya akan memohon kebenaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jurulatih mereka, jika dapat melepaskan mereka dalam satu jangka masa yang agak lama untuk membenarkan beberapa pemain berpotensi ini menyertai saya.

“Saya harap jadual perlawanan Liga M 2015 tidak akan mengganggu sesi latihan kami,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis pengumuman pramusim kelab bola sepak Iran, Zobahan FC di Shah Alam, semalam.

Zobahan FC akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Polis Diraja Malaysia dan pasukan kebangsaan B-22, masing-masing pada 6 dan 9 Jan ini.

Razip berkata pemain-pemain berkenaan perlu menyertai pasukan kebangsaan B-22 selewat-lewatnya pada awal Mac sebelum aksi kelayakan pada 27 Mac.

Beliau berkata penyertaan awal pemain Liga M tersebut adalah bagi memastikan mereka dapat membentuk persefahaman tinggi dengan anak buahnya sebelum beraksi pada pusingan kelayakan tersebut.

Razip turut bercadang mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan pasukan dari negara Asia bagi memberi pendedahan kepada anak buahnya.

“Sekarang pasukan saya perlukan perlawanan persahabatan sekurang-kurangnya tiga atau empat perlawanan sebulan sebagai pelajaran kepada mereka untuk mengenal pihak lawan dan menimba pengalaman,” katanya.

Bagi kelayakan Piala Asia AFC B-23, Malaysia diundi dalam kumpulan I bersama-sama pasukan gergasi Asia iaitu Jepun, Vietnam dan Macau.

Pusingan kelayakan dijadual berlangsung di Malaysia pada 27 hingga 31 Mac ini, dan juara setiap kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia AFC B-23 di Qatar pada 2016.

Lima pasukan terbaik yang muncul naib juara bagi setiap kumpulan, akan turut layak menyertai kejohanan tersebut. — Bernama

Advertisement