Anda di sini

Pengerusi Hindraf dihalang masuk Sarawak, diarah pulang ke ibu negara

Advertisement

KUCHING: Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) Waythamoorthy Ponusany diarah pulang ke ibu negara sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.

Beliau yang merupakan peguam dan aktivis hak asasi manusia, dijadual memberi ceramah mengenai Akta Hasutan 1948 di sebuah hotel di Jalan Ban Hock, menggunakan pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur tiba di sini sekitar 11.30 pagi.

Beliau bagaimanapun dimaklumkan oleh pegawai imigresen untuk mengambil penerbangan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur.

Waythamoorthy, merupakan salah seorang daripada empat penceramah selain Patrick Uren mewakili Sarawak, Ande Sidik (Sabah) dan peguam pakar undang-undang antarabangsa dari Australia, Robert Pei.

Dalam kenyataan yang ditujukan kepada sekurang-kurangnya 50 hadirin, beliau mahu para aktivis di Sabah dan Sarawak meneruskan agenda dan perjuangan tanpa diselubungi perasaan takut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia adalah hak warisan mereka untuk menentukan nasib diri sendiri.

“Pindaan yang dicadangkan ke atas Akta Hasutan perlu dicabar secara sah ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Lina Soo memberitahu, beliau bergegas ke LTAK untuk berjumpa dengan Waythamoorthy setelah dimaklumkan mengenai sekatan tersebut.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada pegawai imigresen kerana membenarkan Waythamoorthy keluar dari bilik pihak berkuasa itu untuk berjumpa dengannya serta seorang lagi aktivis hak asasi manusia, Peter John Jaban.

Advertisement