Anda di sini

Orang ramai dipelawa sertai Pesta Lan Bersauk pada Mac

Advertisement

SIBU: Kelab Layang-Layang Intan Enterprise dengan kerjasama Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) akan menganjurkan Pesta Lan Bersauk di Dataran Bandar Sibu di sini pada Mac depan.

Pengerusi Kelab Layang-Layang Intan Enterprise, Ibrahim Rini berkata, pesta itu bertujuan mempromosi permainan tradisional masyarakat tempatan di samping menggalakkan golongan belia terlibat dalam aktiviti riadah sihat.

“Menjadi harapan kita supaya pesta itu kelak dapat menarik lebih ramai golongan belia untuk bersama-sama memeriahkan program tersebut,” jelasnya ketika melancarkan Pesta Gudi, kelmarin.

Pesta Gudi yang diadakan di Dataran Bandar Sibu telah disertai seramai lebih 30 orang belia di sini.

Menurut Ibrahim, Pesta Gudi itu sebahagian daripada program memperkenal permainan tradisi kepada masyarakat setempat di samping sebagai salah satu aturcara menyambung ambang tahun 2015.

“Kita merancang untuk menganjur Pesta Lan Bersauk pada Mac depan setelah penganjuran Pesta Gudi mendapat sambutan baik. Pada program Pesta Lan Bersauk kelak, kita jangkakan sambutannya lebih meriah,” katanya.

Ibrahim berkata, bermain layang-layang merupakan satu daripada permainan tradisional masyarakat tempatan selain menjadi satu bentuk hiburan mengisi masa lapang.

“Bermain layang-layang juga boleh menggalakkan golongan belia terlibat dalam aktiviti riadah sihat dan menyerlahkan kreativiti mereka untuk menghasilkan layang-layang yang kreatif dan menarik,” katanya lagi.

Advertisement