Anda di sini

Kabaddi mampu hadiah pingat pada SUKMA Ke-18 KL

Advertisement

KUCHING: Kabaddi mampu menghadiahkan pingat buat kontinjen Sarawak pada SUKMA Ke-18 yang dijangka diadakan pada Mei depan di Kuala Lumpur.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Persatuan Kabaddi Sarawak (SKA), Ramachandran Ramasamy yang juga pengurus skuad kabaddi negeri.

Menurut Ramachandran, ketika ini seramai 30 atlet bayangan telah mula menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Ganesan Punisamy dan Ah Yong di SMK Batu Lintang.

“Mereka akan disaring semula pada Mac bagi memilih 10 atlet lelaki dan 10 wanita terbaik yang akan mewakili Sarawak di Kuala Lumpur nanti,” katanya semalam.

Sehubungan itu, Ramachandran menjelaskan pihaknya akan menghantar pasukan bagi menyertai kejohanan kabaddi Terbuka Melaka pada hujung Januari ini.

Tambahnya, kejohanan kebangsaan yang bakal disertai ramai pasukan ternama di Semenanjung Malaysia itu akan menjadi pendedahan terbaik bagi atlet negeri.

“Kita juga sudah membuat permohonan dengan pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) untuk meluluskan dana bagi menghantar atlet menjalani latihan pendedahan di luar.

“Ini sangat penting bagi memantapkan lagi skuad kita sebelum menghadapi temasya sebenar nanti,” katanya sambil menambah SKA bercadang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad SUKMA Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Jelasnya, SKA menaruh harapan tinggi terhadap skuad wanita untuk memenangi pingat buat Sarawak.

“Skuad wanita kita antara yang terkuat di Malaysia ketika ini dan saya yakin mereka mampu menghadiahkan pingat untuk Sarawak,” ujar Ramachandran.

Pencapaian terbaik skuad wanita adalah ketika muncul naib juara pada kejohanan kebangsaan di Kuala Lumpur pada November lalu.

Mengenai skuad lelaki, Ramachandran berkata tidak mustahil mereka melakar kejutan pada temasya kali ini namun menegaskan banyak pendedahan perlu dilalui kerana sebahagian besar atlet sedia ada adalah muka baharu.

Advertisement