Anda di sini

Jocelyna berjaya rangkul gelaran purata bawah 194, Pingat Bulanan Megalanes

Advertisement

KUCHING: Pemenang pingat emas SUKMA, Jocelyna Judith Jonathan menutup tirai 2014 dengan penuh bergaya apabila berjaya merangkul gelaran bagi purata bawah 194, Pingat Bulanan Megalanes Adventure World bagi bulan Disember lepas.

Beliau melakukan jatuhan sebanyak 2,131 pin dalam 10 permainan untuk menewaskan 11 peserta lain bagi membawa pulang trofi dan wang tunai RM350.

Tempat kedua milik Mohd Rafizan dengan 1,973 pin untuk menggondol trofi dan RM250.

Manakala Nur Aina Kamalia membawa pulang trofi dan RM50 setelah menduduki tempat ketiga dengan 1,968 pin.

Dalam saingan purata bawah 169, johan milik Sufian Othman yang mengatasi 12 pencabar dengan 1,527 jatuhan pin bagi membawa pulang trofi dan RM250.

Zaini Rawi di tempat kedua dengan 1,475 pin manakala Wan Ibrahim di tempat ketiga disusuli Saiful Bahari tempat keempat.

Pertandingan Pingat Bulanan itu berjaya menarik seramai 109 peserta dari Kuching dan Samarahan dengan hanya tempat tiga teratas memenangi torfi dan wang tunai.

Pengurus pusat boling Megalanes Adventure World, Angelo Koay berkata pertandingan itu telah bermula sejak November tahun lepas dan perlawanan akhir akan diadakan pada Disember 2015.

“Objektif utama kita menganjurkan kejohanan ini adalah untuk meningkatkan kualiti pemain agar dapat bersaing bersama peserta negeri dan menyertai pertandingan di luar Sarawak,” jelas Angelo.

Johan bagi bulan November (purata bawah 194) adalah Suit Boji manakala Mohd Izam bagi purata bawah 169.

Peserta yang berjaya mengumpul mata terbanyak diletakkan dalam senarai 14 peserta terbaik untuk bersaing dalam pertandingan akhir yang diadakan pada penghujung tahun.

“Untuk pertandingan bulan ini, kita tidak memberi sebarang handikap kepada peserta bagi membantu mereka berkembang bersama pemain yang berkualiti.

“Kita tidak mahu peserta terlalu bergantung dengan handikap agar mereka dapat memperbaiki corak permainan dan markah dengan pantas,” jelas Angelo.

Advertisement