Anda di sini

Bilik gerakan bencana Miri beroperasi 24 jam

Advertisement

MIRI: Bilik gerakan bencana alam bagi kawasan Miri beroperasi 24 jam dua hari bermula semalam dan hari ini.

Residen Daerah Miri Antonio Kahti Galis berkata, bagaimanapun, tempoh operasi sama ada ia dilanjut atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan cuaca.

“Hari ini (semalam) dan esok (hari ini) bilik gerakan dibuka 24 jam bagi memudahkan orang awam membuat laporan jika berlaku banjir atau bencana,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mengenai perkembangan terkini, beliau memberitahu tiada laporan kejadian banjir terkini dilaporkan.

“Penduduk terlibat banjir di kawasan Mulu telah berpindah semula ke kediaman masing-masing pada 30 dan 31 Disember lalu,” jelasnya.

Hanya sebuah perkampungan di Marudi iaitu Lubok Aman, Hilir Marudi masih mengalami banjir sekaki hingga dua kaki dalam.

“Air belum surut sepenuhnya di kawasan itu, tetapi penduduk tidak dipindah,” tambah Antonio lagi.

Sejak minggu lepas dilaporkan bahawa beberapa kawasan termasuk di Baram dan di Miri mengalami banjir akibat hujan turun lebat dan tidak berhenti-henti selama beberapa hari.

Antonio turut memberitahu bahawa talian bilik gerakan dimaksudkan yang boleh dihubungi orang awam adalah 085-433205.

Advertisement