Anda di sini

Aksi persahabatan ujian bagi Ben

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Alberts belum lihat keupayaan sebenar dalam latihan bersama skuad Sarawak

MANFAAT PELUANG: Ben (tengah) gigih menjalani latihan dalam usaha untuk memikat Alberts dan FAS.

KUCHING: Pengendali Sarawak Robert Alberts akan menggunakan dua perlawanan persahabatan menentang SPA FC dan Sabah bagi menilai keupayaan pemain yang sedang menjalani ujian, Ben King.

Ujarnya, perlawanan itu akan menjadi ujian sebenar bagi Ben dan berharap pemain pertahanan kacukan England/Malaysia itu tidak mempersia-siakan peluang tersebut.

“Beliau (Ben) seorang yang berbakat serta mempunyai ciri-ciri pemain yang kita mahukan.

“Namun saya masih belum melihat potensi sebenarnya dalam latihan dan berharap beliau memanfaatkan sepenuhnya dua perlawanan persahabatan itu nanti,” ujar Alberts.

Ben, 21, mula menjalani ujian bersama Sarawak sejak minggu lepas selepas gagal merebut slot dalam skuad Johor Darul Takzim.

Beliau lahir di England dengan ayahnya warganegara Britain, manakala ibunya berasal dari Melaka.

Sebelumnya, Ben bermain bersama skuad Tonbridge Angels yang bersaing dalam Liga Premier Ryman Isthmian di England.

Ketika ditemui, beliau menaruh harapan tinggi untuk menyertai Sarawak dan bersedia memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang.

“Saya sangat berminat untuk bermain di sini dan berharap diberi peluang untuk menyertai Sarawak,” katanya.

“Bekas rakan sepasukan, Junior Eldstal banyak membantu menyalurkan maklumat mengenai pasukan ini kepada saya.”

Ben pernah bermain bersama bekas pemain Sarawak, Junior semasa kedua-duanya masih menuntut di England.

Katanya, beliau bersedia menjadi warganegara Malaysia sekiranya impian untuk bermain dengan Sarawak menjadi kenyataan.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam proses mencari dua lagi pemain selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan peraturan baharu dengan setiap pasukan boleh menyenaraikan 26 pemain dalam Liga Malaysia 2015.

Ben dan bekas pemain sayap Sarawak Azizan Saperi disebut-sebut sebagai calon bagi melengkapkan kuota 26 pemain skuad Ngap Sayot musim ini.

Advertisement