Anda di sini

Setiausaha Agung PBB ucap takziah kepada keluarga mangsa

Advertisement

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon mengutuskan ‘ucapan takziah dengan sepenuh ikhlas’ beliau kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa Ahad lepas.

Dalam kenyataan pada Khamis, seorang jurucakap PBB berkata Ban juga menyampaikan ucapan takziah kepada ‘kerajaan dan rakyat negara asal mereka, terutama Indonesia, yang mengalami kehilangan paling besar’ serta mengucapkan terima kasih kepada “kerajaan yang menyertai usaha mencari pesawat yang hilang itu atas respons segera dan kecekapan mereka”.

Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 hilang daripada pengesanan radar pada 28 Dis ketika terbang dari Surabaya, Indonesia, ke Singapura bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Mayat dan serpihan pesawat itu ditemui di perairan berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah, Indonesia, dan ketika ini usaha mencari diteruskan walaupun Laut Jawa mengalami cuaca buruk.

Nahas yang menimpa pesawat itu dan beberapa kejadian kehilangan pesawat sebelum ini mendorong pakar penerbangan mengulangi gesaan mereka agar perubahan dilakukan terhadap proses menjejaki pesawat komersial.

Gesaan itu pertama kali disuarakan pada Mei tahun lepas, kira-kira dua bulan selepas sebuah pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH370, meninggalkan Kuala Lumpur untuk menuju ke China. — Bernama

Advertisement