Anda di sini

Peruntukan tambahan baiki rumah, infrastruktur akan diumum

Advertisement

KUALA KANGSAR: Perbendaharaan Negara akan mengumumkan peruntukan tambahan untuk membina dan membaiki rumah serta infrastruktur yang rosak di negeri terjejas banjir dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada Isnin ini bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata setakat ini, ketua setiausaha daripada beberapa kementerian dilantik menerajui usaha pemulihan di negeri yang dilanda banjir.

“Sebagai contoh, Perak (diletak) di bawah Kementerian Dalam Negeri sedang bermesyuarat bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR). JKR juga sedang membuat penilaian dari segi kerosakan rumah, harta benda dan sebagainya.

“Dalam seminggu dua ini, JKR dan beberapa agensi berkaitan akan menilai sebelum kita umum lagi peruntukan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan dilanda banjir, di sini semalam.

Mohd Irwan berkata setakat ini, lebih RM800 juta disalur kepada Majlis Keselamatan Negara dan Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan pembersihan serta pembaikan kecil di negeri yang dilanda banjir. — Bernama

Advertisement