Anda di sini

Orang Asli perlukan makanan dan ubatan

Advertisement

KUANTAN: Masyarakat Orang Asli di semua kawasan yang terjejas akibat banjir pada masa ini amat memerlukan sumbangan bekalan makanan dan perubatan daripada pelbagai pihak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penduduk terlibat terkandas dan kehabisan bekalan makanan dan sebagainya kerana kedudukan perkampungan mereka yang jauh dari bandar dan sesetengahnya hanya boleh dilalui dengan bot.

“Kita meminta pelbagai pihak mengutamakan penghantaran bekalan makanan dan perubatan kepada penduduk Orang Asli di kawasan yang masih dilanda banjir sama ada di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Ada beberapa perkampungan Orang Asli di Bera dan Temerloh, Pahang yang terputus hubungan begitu juga di Gua Musang dan Manek Urai, Kelantan yang kekurangan bekalan makanan dan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan bantuan makanan di Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Lembing, dekat sini semalam.

Shafie berkata pada musim banjir penduduk terutamanya kanak-kanak mudah mendapat penyakit berjangkit.

Suhubungan itu, beliau telah mengarahkan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya supaya menyegerakan bantuan makanan dan perubatan selain memindahkan mereka yang masih terperangkap ke kawasan selamat.

Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti jumlah kampung Orang Asli dan kampung tradisional, nilai kerosakan rumah, kemudahan asas, bekalan air dan elektrik yang terjejas akibat banjir.

“Kita sedang meneliti semua perkara ini agar tiada yang terlepas pandang untuk kita anggarkan jumlah peruntukan bagi membaik pulih kerosakan,” katanya.

Menurutnya setakat ini, kerajaan telah mengeluarkan bantuan segera banjir sebanyak RM4 juta termasuk RM1 juta kepada masyarakat Orang Asli. — Bernama

 

Advertisement