Anda di sini

Cuaca buruk jejaskan operasi cari QZ8501

Advertisement

SURABAYA: Cuaca buruk terus menjejaskan operasi hari keenam mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa di luar Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada Ahad lepas.

Memetik jurucakap Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), media tempatan melaporkan operasi mencari kapal terbang jenis A320-200 serta kotak hitam pesawat itu terganggu sejak beberapa hari akibat faktor cuaca.

Ini termasuk ombak setinggi empat hingga lima meter selain angin selaju 25 knot serta keadaan awan berubah-ubah.

Keadaan itu menyukarkan pasukan pencarian diketuai Indonesia yang dibantu beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Bhayangkara di sini, mendapati waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal QZ8501 terus setia menunggu perkembangan dan maklumat lanjut di sebuah bilik khas di Pusat Krisis di hospital berkenaan.

Setakat pagi Jumaat, tujuh jasad selesai dibedah siasat termasuk satu yang dikenal pasti identiti sebelum dikebumikan kelmarin, iaitu Allahyarham Hayati Lutfiah Hamid.

Beberapa lagi mayat dijangka tiba dari Pangkalan Bun ke hospital itu untuk bedah siasat namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu, jurucakap pasukan Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) berkata mereka menghadapi masalah mengenal pasti identiti satu mayat lelaki yang dibedah siasat kerana cap jarinya rosak dan tidak padan dengan maklumat dan data dalam simpanan yang ada.

Pasukan DVI juga memberitahu sehingga kini, 107 daripada 162 waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat QZ8501 menyerahkan sampel DNA untuk membantu proses identifikasi.

Dalam pada itu, pegawai perhubungan awam Polis Jawa Timur Awi Setyono berkata proses identifikasi bukan tugas mudah kerana ia perlu mengikuti standard operasi prosedur antarabangsa yang ketat bagi mendapatkan padanan yang tepat.

Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia). — Bernama

Advertisement