Anda di sini

Bantuan dan sumbangan untuk mangsa banjir perlu disegerakan

Advertisement

GEORGE TOWN: Bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir perlu disegerakan kerana mereka kini tinggal sehelai sepinggang, kata Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Datuk Dr Abdul Razak Kechik.

Beliau berkata terdapat mangsa yang beliau temui di Kota Baharu, Kelantan tidak mandi selama enam hari berikutan tiada bekalan air dan kekurangan makanan kerana jalan perhubungan terputus ekoran banjir.

“Bantuan kepada mangsa banjir harus disegerakan kerana mereka amat memerlukan bantuan itu sekarang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan untuk mangsa banjir di pantai timur yang disumbang Zhulian Marketing (M) Sdn Bhd di sini semalam.

Turut hadir Penasihat Pemasaran Kanan Zhulian Marketing, Ong Soo Beng dan Pegawai Turus Pasukan Gerakan Am Briged Utara, DSP Mohd Saleh Mohd Hussain.

Abdul Razak berkata Zhulian Marketing memberi sumbangan makanan seperti beras, biskut, makanan dalam tin, minuman segera serta keperluan harian dan bantal bernilai RM1 juta.

Katanya misi penghantaran akan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am Briged Utara dengan tujuh buah lori yang bertolak petang semalam.

Abdul Razak berkata sebanyak 300 anggota sukarelawan MRA ditugaskan untuk mengagihkan barangan tersebut kepada mangsa banjir apabila sumbangan itu sampai di pusat pemindahan.

Sementara itu, Mohd Saleh berkata tujuh buah lori akan digerakkan untuk misi penghantaran yang akan bertolak petang ini manakala tujuh buah lagi akan bertolak Isnin depan.

Katanya tiga buah lori itu akan ke Kuala Krai untuk penghantaran ke pusat pemindahan dan empat buah lagi akan menuju ke Kota Baharu.

“Kita jangka perjalanan mengambil masa 10 jam bergantung kepada keadaan jalan kerana lori akan mengambil laluan Cameron Highlands melalui Simpang Pulai, kemudian Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Baharu,” katanya. — Bernama

Advertisement