Anda di sini

Airasia: Tiga lagi mayat dikenal pasti identiti

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan Pengenalpasti Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) hari ini mengesahkan tiga lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 telah dikenal pasti identiti mereka termasuk seorang krew penerbangan.

Mereka ialah Grayson Herbert Linaksita (lelaki), Kevin Alexander Sutjipto (lelaki) dan Khairunisa Haidar Fauzi, pramugari yang berkhidmat dengan AirAsia Indonesia sejak 28 Jan 2013.

AirAsia Indonesia dalam satu kenyataan berkata setakat ini, pasukan DVI POLRI telah membuat pengecaman empat mayat mangsa QZ8501.

Sejumlah 22 mayat penumpang QZ8501 telah ditemui, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penyerahan mayat kepada keluarga mangsa dijalankan awal hari ini di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes bersama dengan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko berlepas ke Palembang hari ini untuk menyerahkan jenazah Khairunisa kepada keluarganya dan menghadiri upacara pengebumian.

AirAsia menggesa orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan mengenai operasi mencari dan pemindahan mangsa QZ8501 supaya merujuk hanya kepada maklumat rasmi daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional.

“Doa dan harapan kami sentiasa bersama keluarga dan rakan-rakan penumpang dan rakan-rakan pesawat QZ8501,” kata kenyataan itu.

Pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501, hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis lepas semasa dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal. — BERNAMA

Advertisement